Saturday, July 6, 2013

Hari Haram Berpuasa dan Makhruh Berpuasa - Khusus bagi umat Islam

Assalamualaikum,

Salam sejahtera. Ok ini ada info sikit, (in sha Allah, info yang sahih), pasal hari-hari haram berpuasa
(Jika ada kesilapan dalam post ini, sila email ke mohd.suffian@gmail.com berserta dengan pembetulan)

Berdasarkan sumber-sumber yang boleh diyakini berikut adalah hari-hari haram berpuasa dan sedikit penjelasan mengenai hari-hari tersebut.

Hari-hari haram berpuasa / dilarang berpuasa:

1. Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha (Hari Raya Aidilfitri - 1 Syawal & Hari Raya Aidiladha - 10 Zulhijjah)

Ijma' ulama' telah memutuskan bahawa haram berpuasa sama ada sunat atau wajib pada hari-hari tersebut.

Dalil yang menyokong pandangan ini seperti berikut:

i. Hadith:

Maksudnya:
35- Dari Abu `Ubayd, katanya: Aku telah hadir merayakan hari raya bersama-sama dengan Saiyidina `Umar bin al-Khattab r.a., lalu ia berkata:  "Hari raya ini dan hari raya yang satu lagi, Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa padanya, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan hari raya Aidiladha untuk kamu makan dari daging korban kamu."(1)

1. Fath al-Bari (5:142)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

ii. Hadith (ditegaskan lagi dalam hadith ini)

 

Maksudnya:
36- " .. Bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa pada dua hari, iaitu: "Hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadith sahih yang lain, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, rahimahumallah., dari Ibn `Umar r.a., bahawa seorang lelaki telah datang bertanya kepada Ibn `Umar, katanya:
"Saya telah bernazar untuk berpuasa sehari, kebetulan hari itu jatuhnya pada hari raya puasa atau pada hari raya haji,  (bagaimana hukumnya)?"

Ibu `Umar menjawab:


 "Allah Taala telah perintahkan supaya (orang yang bernazar) menyempurnakan nazarnya dan Rasulullah s.a.w. pula telah melarang (umatnya) daripada berpuasa pada hari yang tersebut."(2)

1. Ittihaf Ahl al-Islam (250)
2. Kitab yang sama (251)


2. Hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah)

Hari-hari tasyrik adalah 3 hari selepas hari raya Aidiladha. 3 hari ini adalah 11,12 dan 13 Zulhijjah. Umat Islam yang sedang mengerjakan ibadat haji akan berkumpul di "Mina" pada 3 hari ini. Larangan berpuasa pada 3 hari ini berlandaskan hadith berikut:

i. Hadith:


37- Dari Sa'ad bin Abi Waqas r.a., katanya: "Aku telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. supaya menyeru semasa (orang ramai sedang berhimpun) di "Mina" bahawa masa yang tersebut ialah khusus (untuk kamu) menikmati makan minum (dengan gembira) dan tidak di tuntut berpuasa padanya, yakni hari-hari tasyriq yang termaklum."(1)

 1. Nail al-Autar (4:277)
(Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad)

ii. Diterangkan lagi dalam hadith ini:


38- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abdullah bin Huzafah menyeru di merata-rata tempat, di "Mina", katanya: "Janganlah kamu berpuasa pada (ketiga-tiga) hari tasyriq ini, kerana ditentukan untuk kamu menikmati makan minum (dengan gembira) dan untuk kamu mengingati Allah Azza wa Jalla (dengan takbir dan tahmid)".(1)
 
1. Al-Fath al-Rabbani (10:144), hadith ini 'sanad'nya jayyid (elok).

 
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
Larangan yang tersebut adalah larangan haram.

 3. Hari Syak (30 Syaban)

i. Hari yang dilarang puasa, hadithnya:


39- Dari `Amar bin Yasir r.a., katanya: "Barangsiapa berpuasa pada hari yang diragukan maka sesungguhnya ia telah menderhaka kepada (Rasul Allah) Aba al-Qasim s.a.w."(1)
(Hadith Hasan Sahih - Riwayat  Abu Daud dan Tirmizi)
"Hari syak" atau "hari yang diragukan" yang tersebut ialah hari yang ketiga puluh dan bulan Sya'ban yang tidak diketahui dengan jelas sama ada ia dan bulan Ramadhan atau dari bulan Sya'ban, kerana rukyah mengenainya (yang diperkatakan orang pada 29 Sya'ban) tidak sabit atau saksi yang melihatnya tidak diterima pengakuannya oleh pihak yang berkuasa disebabkan fasiknya dan sebagainya.
Larangan yang tersebut haram hukumnya dan tidak sah puasanya.(2)
Dalam pada itu ada pengecualian, iaitu kalau seorang pada hari itu mengerjakan puasa qadha atau puasa nazar,  maka yang demikian tidak dilarang.
Demikian juga kalau ia biasa mengerjakan puasa sunat yang tertentu seperti "puasa hari Isnin" dan kebetulan jatuhnya pada "hari syak" yang tersebut maka itu tidak dilarang.
Yang dilarang ialah mengerjakan puasa yang tidak bersebab atau "Hari syak" itu diniatkan dari bulan Ramadhan. 

1. Riyad al-Salihin (447) dan `Ibanat al-Ahkam (1:368) "Aba al-Qasim" (Bapa kepada al-Qasim) yang tersebut dalam hadith ini ialah gelaran Rasulullah s.a.w., kerana salah seorang dari putera-putera Baginda bernama "al-Qasim"
2. Sabil Al-Muhtadin (2:142)

4. Puasa Hari Jumaat

i. Dilarang berpuasa pada hari Jumaat jika tidak disertakan sekali puasa pada hari Khamis (sehari sebelum) atau hari Sabtu (sehari selepas), diterangkan dalam hadith:


40- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebenarnya hari Jumaat ialah hari raya (mingguan), maka janganlah kamu jadikan hari raya kamu itu hari puasa kamu, kecuali kalau kamu berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."(1)

1. Al-Fath al-Rabbani (10:148). Hadith ini disahihkan oleh al-Hakim

(Riwayat Imam Ahmad)
Larangan yang tersebut ialah larangan makruh. 
Di dalam hadith ini diterangkan dengan jelas sebab larangan itu:
Bahawa hari Jumaat ialah hari raya mingguan dan lazimnya tidak dituntut berpuasa pada hari yang dimuliakan sebagai hari raya.

5. Puasa Hari Sabtu

Makruh juga hukumnya berpuasa (puasa sunat) pada hari Sabtu jika tidak disertakan dengan berpuasa pada hari Ahad.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya, maksudnya: "Janganlah kamu berpuasa pada hari Sabtu, kecuali puasa yang diwajibkan atas kamu .." (1)
Yakni kecuali puasa qadha dan puasa nazar.  (Demikian juga halnya puasa sunat yang biasa dilakukan dan secara kebetulan jatuhnya pada hari Sabtu, maka ia juga dikecualikan dan larangan itu).(2)

1. Fiqh al-Sunnah (1:446), hadith ini Hadith Hasan, menurut Imam Tirmizi
2. Kitab yang sama (1:446)

6. Hukum isteri berpuasa sunat tanpa mendapat izin suami

i. Hadith:


41- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak halal bagi seseorang perempuan mengerjakan puasa sunat sedang suaminya ada bersama melainkan dengan izinnya".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadith ini menjadi dalil bahawa haram atas isteri mengerjakan puasa sunat melainkan dengan izin suaminya, kecuali kalau suaminya tidak ada bersama - kerana pergi keluar negeri maka ia boleh mengerjakan puasa sunat dan tidak memerlukan izin suaminya.
Jelasnya hak suami adalah satu perkara yang wajib dan tidak boleh dicuaikan kerana melakukan suatu yang sunat. 

1. Al-Fath al-Rabbani (10:66). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya

7. Hak isteri terhadap suaminya

Suami juga bertanggungjawab menyempurnakan hak isterinya dan dilarang mengerjakan puasa sunat yang berlebihan yang akan menyebabkan dia mencuaikan hak isterinya.
Masalah ini diterangkan dalam sebuah Hadith Sahih riwayat Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. mendapat tahu perihal seorang sahabat Baginda iaitu Abdullah bin `Amru r.a., mengerjakan "puasa sunat" pada tiap-tiap hari sepanjang masa dan ia pula berjaga malam mengerjakan "sembahyang sunat".
Setelah Baginda bertanya, Abdullah mengaku,  lalu Baginda melarangnya berbuat demikian dan menegaskan lagi, sabdanya:


42- "Berpuasalah engkau (pada hari-hari yang tertentu) dan berbukalah (pada hari-hari yang lain), demikian juga kerjakanlah sembahyang sunat (pada sebahagian malam) dan tidurlah (pada sebahagian lagi), kerana sesungguhnya tubuhmu ada haknya yang wajib engkau tunaikan, matamu ada hak yang wajib engkau tunaikan, isterimu ada haknya yang wajib engkau tunaikan dan tetamumu juga ada haknya yang wajib engkau tunaikan .."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Dalam hadith ini Baginda mengingatkan umatnya supaya sentiasa menggunakan cara yang sederhana dalam segala hal dan dalam masa kita mengerjakan amalan yang sunat,  jangan pula kita melupakan perkara yang wajib. 

1. Riwayat Bukhari dari Abdullah bin `Amru r.a., Fath al-Bari (5:121)


Sekian, Wassalam.
(Sumber: IslamGRID)